Sejarah Gayong

Ilmu persilatan daripada Syed Zainal Abidin Al-Attas (Tok Jenai) dan diperkembangkan oleh Mahaguru Dato Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Md. Hashim

Silat Gayong mula diperkenalkan oleh Dato Meor Abdul Rahman kepada 7 orang belia di Pulau Sudong, Singapura pada 17hb Februari 1942 untuk persediaan melawan penjajahan Jepun

Silat Seni Gayong mula berkembang di pulau besar Singapura pada akhir tahun 1949. 7 orang murid pertama yang menjalani upacara Perlimau Tapak ialah Ahmad Sudi, Mansor Fadal, Ustaz Mansor, Sinwan, Joned Hanim, Hosni Ahmad dan Salim. Sinwan, Joned Hanim dan Salim merupakan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Singapura yang terawal menjadi murid Gayong. Pusat Latihan Silat Seni Gayong dalam tahun 1950 – an di pulau besar Singapura ialah di Bakar Sampah.

Pada tahun 1954, kumpulan pertama wanita seramai 7 orang telah memasuki Gayong di Singapura. Mereka ialah Che Kalsom bte. Haji Kechik, Paridah bte. Yusope, Asmah ( isteri Joned Hanim ), Aisyah ( isteri Mansor Fadal ), Rafeah Fadal, Hendon dan Intan.

Pada tahun 1950 – an, ramai bintang filem Melayu mempelajari Silat Seni Gayong. Antaranya ialah Jasni Ahmad, Naeng Yatimah, Kasma Booty, P. Ramlee dan A. Rahim. Kemuncaknya dalam tahun 1956, Dato’ Onn b. Jaafar, seorang tokoh politik dan pemimpin Melayu yang disegani telah menjadi murid Gayong. Beliau telah dilantik sebagai Penasihat Agung dan Waris Beradat Silat Seni Gayong.

Pada awal tahun 1957, satu rombongan Silat Seni Gayong dari Singapura yang dipimpin sendiri oleh Meor Abdul Rahman telah mengadakan persembahan di Kelab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah atas undangan Y.A.M. Tengku Laksamana Kedah, Tengku Kassim Ibni Sultan Badlishah. Pertunjukkan tersebut telah disaksi oleh DYMM Sultan Badlishah Ibni al – Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah, Sultan Kedah Darul Aman. Ini merupakan cubaan pertama untuk mengembangkan sayap Silat Seni Gayong di Kedah.

Sekolah Gayong Woodlands atau Institute of Gayong Woodlands telah ditubuhkan oleh Meor Abdul Rahman dalam tahun 1959. Akademi ini mengeluarkan Sijil Diploma bagi mereka yang lulus dalam kursus – kursus yang ditawarkan. Antara tenaga yang pengajar yang membantu Meor Abdul Rahman ialah Siti Noor Aisyah bte. Meor Abdul Rahman, Nordin bin Abdul Rahman, Sidek, Abdul Majid bin Omar, Atan dan Abdul Rahman bin Kadir. Akademi ini telah berjaya melahirkan beberapa orang gurulatih semenanjung yang terkenal seperti Abdul Majid Mat Isa, Ramli Ibrahim, Ramli Mat Arof, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Khamsiah M. Ali, Awang Daud dan Ahmad Lazim.

Silat Seni Gayong mula tersebar luas di Semenanjung Tanah Melayu apabila pada bulan Mac 1963, Meor Abdul Rahman telah membawa keluar bersama – samanya 8 orang gurulatih dari Kedah menjelajah ke negeri – negeri di Pantai Barat, Timur dan Selatan. Mereka terdiri daripada Abdul Majid Mat Isa, Ramli Mat Arof, Awang Daud, Ismail Chik, Ibrahim Abdullah, Mohd Khir Saad, Mohd Desa Din dan Ahmad Lazim. Kumpulan ini dipecah kepada beberapa buah negeri dan digilirkan atas arahan Meor Abdul Rahman sendiri.

Pendaftaran Silat Seni Gayong sebagai sebuah pertubuhan berdaftar telah diluluskan pada 22hb Oktober 1963. Permohonan tersebut telah dibuat dalam tahun 1962 atas nasihat Dato’ Onn bin Jaafar. Alamat awal pertubuhan ini ialah di rumah seorang murid Gayong bernama Ibrahim di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, Johor. Apabila ibu pejabat pertubuhan berpindah ke Kota Sarang Semut, Kedah dalam tahun 1964, maka Kota Sarang Semut telah menggantikan Woodlands sebagai Pusat Latihan Tertinggi.

Dalam tahun 1964 di Air Kuning, Taiping, Perak, sistem tingkatan bengkong dan pelajaran Silat Seni Gayong secara lebih sistematik telah disusun. Dato Meor Abdul Rahman beliau mula membangunkan Air Kuning sebagai pusat latihan baru dan membina sebuah balai adat.

Pada 27 hb Januari 1971, Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Idris Syah Ibni al – Marhum Sultan Alang Iskandar di Air Kuning.

Pada 31 Julai 1998, Pertubuhan ini telah berpindah pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia ke Akta Pembangunan Sukan 1997 di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada 31 Julai 1998 bernombor pendaftaran APS 0149/98 dan dikenali dengan nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.

Pada 9 April 2013, Pertubuhan Silat Gayong Malaysia telah berpindah pendaftaran semula daripada Akta Pembangunan Sukan 1997 di bawah Kementerian Belia dan Sukan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dengan nombor pendaftaran
PPM-010-04-09042013