Sastera & Amanat Gayong

AMANAT ARWAH DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN
Tiang yang paling penting dalam penuntutan ilmu ialah taat setia yang tidak berbelah bahagi. Tamak-ahmak itu adalah satu daripada membunuh diri sendiri ataupun satu kecelakaan kepada diri seseorang itu

Jangan ditepuk susu di dulang,
Anak harimau tak dapat menyusu,
Janganlah pecah rahsia hulubalang,
Nanti rimau hilang kuku. 

Jangan tepuk darah di dulang,
Anak harimau mencari ibu;
Jangan pecah mantera hulubalang,
Nanti harimau hilang asu.

Jikalau ada dulang di tangan,
Jangan biar jatuh terhempas;
Jikalau ada senjata di tangan,
Jangan biar orang rampas.

Pecah Gayong di dalam dulang,
Dulang hanyut lautan tujuh;
Pecah Gayong perpecahan Sayang,
Di satu masa kembali berteguh

SAJAK GAYONG


Dengan Bismillah mula dikata,
Mengingatkan kebesaran Allah yang mulia,
Kerana wajib telah ternyata,
Segala perbuatan mahulah diserta.

Seni Gayong payung pusaka,
Naungan aneka hikmat mulia,
Rahsia tersimpan di purbakala,
Ilham menyusun zahir semula.

Lembaganya bersih nyawanya suci,
Bersatu kepada putera dan puteri;
Agama yang mulia junjunglah tinggi,
Belalah bangsa, adat dan negeri.

Gayong mencantum bersatu padu,
Mengingatkan junjungan empunya seru;
Sama sendiri bantu membantu,
Selamat sejahtera hajat dituju.

Matahari terbit Palembang Seguntang,
Tanahnya subur ditanam padi,
Keris dihunus, dipegang, dijulang,
Kesatriaan pahlawan timbul kembali.

Gayong emas kendi pusaka,
Bekalan air raja kesakti,
Keris kuhunus langkah kumula,
Bangsa Melayu sudah terpuji.

Besi kuning besi bersakti,
Anak panah Sang Rajuna,
Kembali Gayong kebudayaan asli,
Di Tanah Melayu hulubalang tua.


Tempana Nipis nama asalku,
Keris pusaka Ratu Dewangga,
Niat derhaka kepada rajaku,
Taming menyerah keris pusaka.

Tempana Nipis nama asalku,
Besi tua di Tanah Jawa,
Hidup kembali kebudayaan bangsaku,
Tidak Melayu hilang di dunia.

Majapahit nama negara,
Tempat ratu raja Jawa,
Kalau diguna akal bicara,
Kebudayaan Melayu subur semula.

Seni Gayong seni asli,
Dewi pusaka ibu pertiwi,
Umat Melayu menjunjung tinggi,
Akhir hayat tidak dilupai.

Seni Gayong sudah terpuji,
Dijunjung oleh seluruh negeri,
Pemuda-pemudi harus pelajari,
Agar Gayong kekal abadi.

Seni Gayong seni Melayu,
Tidak senang untuk ditiru,
Taat setia untuk mengaku,
Supaya menjadi lambang Melayu.

Seni Gayong seni pusaka,
Junjung oleh putera negara,
Supaya digiat taat setia,
Amanah guru harus dijaga.

PANTUN RAHSIA GAYONG

Anakku Anak Ibumu:

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang di kaki;
Berguru kepalang ajar,
Alamat binasa badan sendiri.


Mendaki gunung meredah lurah,
Mencari ramuan pengubat hati;
Ilmu GAYONG bukannya mudah,
Seni turunan wali kesakti.


Mencari ramuan pengubat hati,
Beranyut ke hilir panduan resemi;
Seni turunan wali kesakti,
Menjaga air mengawal bumi.


Beranyut ke hilir panduan resemi,
Lenggang bertapak seni memandang;
Menjaga air mengawal bumi,
Tegap menapak teguh menjulang.


Lenggang bertapak seni memandang,
Memohon tahjud menadah sentiasa;
Tegap menapak teguh menjulang,
Hanya sujud ke hadrat yang Esa.