Perutusan Waris Mahaguru

ASSALAMUALAIKUM WBT

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia kerana sudi memberi ruang kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam ruang ini.  Jasa ayahanda saya Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Md Hashim dalam dunia persilatan tanah air amnya, khususnya Silat Seni Gayong Malaysia tiada siapa yang boleh menafikan.  Allahyarham adalah pengasas dan pencipta silat ini.  Sejarah merakamnya sebagai sebuah badan silat yang pertama berdaftar di negara ini, dan yang pertama pula mempunyai sistem pengajaran dan penilaian yang teratur dan jelas melalui aturan warna  bengkung yang dipakai oleh pesilatnya.

Selain dari mengajar silat kepada rakan dan taulan, Allahyarham turut juga mengajar kepada anak-anaknya, termasuklah diri saya sendiri.  Saya belajar silat dari Allahyarham sejak berumur   5 tahun sehinggalah  berumur 16 tahun.  Oleh kerana saya mendirikan rumah tangga ketika berumur 17 tahun, maka tumpuan saya semenjak itu ialah kepada suami dan membesarkan anak.  Saya telah dikurniakan anak seramai 12 orang.  Justeru, masa muda saya dipenuhi dengan urusan membesar dan mendidik anak-anak disamping kesejahteraan dan keharmonian rumah tangga.  Walaupun Silat Gayong amat rapat dihati saya, tetapi ketika itu saya hanya mampu untuk mengikutinya dari jauh.  Sehingga ke hari ini Silat Gayong masih rapat dihati saya, sebab itulah jika ada undangan untuk saya hadir ke majlis-majlis Silat Gayong saya akan cuba menghadirinya sedaya upaya.

Kepada anak-anak Gayong di seluruh negara saya ingin menyeru supaya bersatulah demi mengangkat martabat Silat Gayong sebagai kekuatan kepada perpaduan bangsa dan ummah.  Sejarah telah dapat melihat bagaimana satu ketika dahulu Silat Gayong pernah mendamaikan pihak-pihak bertelagah dalam beberapa insiden pergolakan politik dan badan perguruan silat.  Janganlah pula perselisihan dan salah faham  menyebabkan kita berkecil hati dan menjauhkan diri selama-lamanya. Sebagai seorang ibu yang berpengalaman membesarkan sebuah keluarga yang  ramai, pergeseran adik beradik itu adalah lumrah, malah kadangkala ia adalah petanda wujudnya  kasih sayang di antara satu sama lain jika dapat dikawal dan dikendalikan oleh pemimpin keluarga yang bijak. Cuma yang perlunya ialah setiap anak itu harus membuka hatinya untuk  bermaafan dan mengenepikan prasangka dan ego masing-masing.  Mengalah bukan bererti kalah, menang bukan bererti kuat.

Semoga Allah sbt memelihara kita semua dan memberi petunjuk ke jalan yang benar.

Sekian.  Terima kasih.

HAJAH SITI FADZILAH BINTI DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN
Waris Mutlak Mahaguru
Silat Seni Gayong Malaysia