Seseorang yang hendak mempelajari Silat Seni Gayong, dia perlulah mematuhi syarat-syarat untuk menjadi Ahli Silat gayong. Terdapat dua syarat untuk membolehkan sesorang itu menpelajari Ilmu Silat gayong iaitu
Syarat Pertama
Mendaftar dan membayar yuran pendaftaran pada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia seperti Berikut
Syarat Kedua
Murid Gayong yang telah mendaftar mengikut perlembagaan, perlulah melalui Majlis penerimaan anak murid secara adat untuk melayakkan secara rasmi menjadi seorang ANAK GAYONG
- Perlimau Tapak
Seseorang yang hendak mempelajari ilmu Silat Seni Gayong perlu diterima sebagai seorang Murid Gayong terlebih dahulu dengan menjalani upacara adat Perlimau Tapak. Setelah menjalani upacara tersebut, barulah orang itu dengan rasminya menjadi seorang Murid Gayong. Dari situ, Murid Gayong tersebut akan mula mempelajari ilmu Silat Seni Gayong peringkat tangan kosong yang dikenali dengan ‘TAPAK’.
- Perlimau Seni
Apabila tamat mempelajari ‘TAPAK’, peringkat ilmu Silat Seni Gayong seterusnya adalah pelajaran senjata tradisional Melayu yang dikenali dengan ‘SENI GAYONG’. Murid perlu menjalani upacara adat Perlimau Seni untuk membolehkan mempelajari ilmu peringkat ini. Selesai sahaja, Murid Gayong boleh bermula mempelajari pelajaran senjata.
Terdapat perkara yang perlu diambil perhatian bagi menjalankan upacara tersebut iaitu :
- Majlis perlimau adat perlulah dijalankan oleh Wakil Perlimau yang telah dilantik dan disahkan oleh Majlis Adat dan Istiadat Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia
- Murid lelaki perlulah melalui kedua-dua upacara (Tapak dan Seni) dan bagi murid wanita hanya perlu melalui upacara Majlis Perlimau Tapak Seni sahaja.
- Wang sumbangan guru pada Majlis Perlimau Seni bagi wanita adalah sama dengan lelaki pada Majis Perlimau Tapak iaitu sebanyak RM16.50.
- Murid lelaki boleh menjalani Majlis Perlimau Seni sebelum tamat pembelajaran ‘TAPAK’ dengan syarat mendapat keizinan guru. Lazimnya ini berlaku di peringkat antara bengkung Pelangi Hijau dan Pelangi Merah Cula III.
Antara peralatan dan bahan-bahan yang diperlukan :
Bil | Perkara | Perlimau Tapak | Perlimau Seni |
---|---|---|---|
1 | Sijil Perlimau | RM5.00 | RM5.00 |
2 | Sumbangan Guru (Yuran Majlis Perlimau) | RM16.50 (lelaki sahaja) | RM26.00 (lelaki) RM16.50 (wanita) |
3 | Bahan-bahan | Sebiji Limau Nipis Seikat Akar Sintuk 7 bilah Jarum Sebatang Lilin Seketul Kemenyan | Sebiji Limau Nipis Seikat Akar Sintuk 21 bilah Jarum Sebatang Lilin Seketul Kemenyan 7 kuntum bunga berlainan Jenis |
4 | Lain-lain keperluan | Pisang Emas Asam Jawa Garam Halus Biji Bertih | Ramuan Sirih Pinang Pisang Emas Asam Jawa Garam Halus Biji Bertih |
Bahan-bahan dan keperluan diatas perlulah disediakan oleh pesilat atau disediakan oleh penganjur majlis mengukit kepada pengurusan majlis dan gurulatih. Beberapa peralatan lain seperti Al-Quran, Air Gayong, keris dan lain-lain akan dibawa dan disediakan sendiri oleh Wakil Perlimau.
Bagi melancarkan perjalanan majlis, dicadangkan untuk persediaan beberapa peralatan dan kelengkapan tambahan untuk kegunaan majlis seperti baldi, beg plastik, bekalan air dan sebagainya bergantung kepada gurulatih dan penganjur majlis mengikut keperluan masing-masing.
Untuk melengkapkan upacara Majlis Perlimau Tapak atau Majlis Perlimau Seni, Setiap orang yang melalui majlis tersebut hendak menyelesaikan pada hari tersebut diikuti doa ketika mandi, Air yang Ditawarkan oleh Wakil Perlimau dan diakhiri Ikrar Murid Gayong.
MAJLIS PERLIMAU ADAT mematuhi “Parameter Syarak Dalam Persilatan”