Mengenal Gayong

SILAT SENI GAYONG adalah salah satu ilmu persilatan di Nusantara ini yang mana perkataan Gayong itu merujuk kepada ilmu-ilmu persilatannya yang asli dan tidak diciplak

Pelajaran Gayong merujuk kepada buah persilatan sebenar yang mengandungi hikmat-hikmat kesaktian yang menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan. Ianya terkandung di dalam gerakan semula jadi, pergerakan pantas secara automatik

Gayong mengandungi pelajaran tumbuk menumbuk, sepak menyepak, tikam menikam, tangkap menangkap, kilas mengilas, hempas menghempas, buang membuang, sekat menyekat, elak mengelak, hadang menghadang, tangkis menangkis dan seumpanya lagi yang menjadi pakaian keperwiraan kepada setiap anak gayong lelaki dan wanita

Pelajaran ini amatlah berguna terutama ketika dalam kecemasan bagi mempertahankan diri sebagai perisai untuk mengelakkan serangan musuh atau lawan. Dalam suatu pertarungan yang menggunakan sepenuh tenaga kekuatan, kepantasan, kecekapan, keazaman, dan kepintaran masing-masing untuk mengalahkan lawannya, sama ada dengan menggunakan senjata ataupun tanpa menggunakan senjata, maka di dalam pertarungan yang seumpama itu biasanya dinamakan GAYONG.

Pelajaran SILAT yang dimaksudkan kepada bunga-bunga tarian bagi pelajaran GAYONG itu adalah lebih merupakan pertunjukan atau persembahan yang tertentu, umpamanya untuk menyerikan sesuatu majlis keramaian, atau kerana sesuatu upacara istiadat di dalam kebudayaan Melayu. Maka di dalam pertunjukan yang seumpama itu, tidaklah persembahan itu lebih merupakan suatu pertarungan yang sungguh-sungguh berlaku di situ, malah hanya persembahan itu lebih merupakan sebagai satu daripada ciri perlawanan yang dipersembahkan secara imbasan pertarungan yang dipenuhi dengan keindahan dan kesenian bunga-bunga tarian dalam pelajaran GAYONG yang disampaikan dengan penuh ketenangan jiwa, sabar, bertatatertib, tidak melanggar kesopanan dan kesusilaan dan tertakluk pula kepada taraf majlis di mana persembahan itu diadakan.

____________________________________________________________________________________________________

ڬ GA – Genggam
Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.

ا ALIF – Angkat
Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.

ي YA – Yakin
Yakin kepada kebolehan diri sendiri

و Wau – Waras
Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.

ڠ Nga – Ngeri
Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan dan persembahan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya