Mesyuarat Majlis Perlimau Kebangsaan pada 4 Ogos 2018 menyatakan kerisauan bahawa kebelakangan ini didapati ramai dalam kalangan gurulatih gelanggang yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai pelaksanaan Acara Perlimau Tapak dan Seni di gelangang masing-masing. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kelicinan pengurusan majlis tersebut tetapi juga menjadi antara sebab gurulatih tidak melaksanakan acara berkenaan. Ini dapat dikesan apabila terdapatnya murid silat yang memegang bengkung Awan Putih, Pelangi Hijau dan sebagainya menyatakan bahawa mereka belum lagi menjalani acara Perlimau Tapak ataupun Seni (bagi pesilat perempuan).
Diingatkan bahawa semua acara dan aktiviti adat istiadat yang dianjurkan dalam pelajaran Silat Seni Gayong adalah bertujuan untuk membentuk jati diri mereka yang mempelajari silat ini. Nilai-nilai seperti semangat setia kawan, patuh kepada arahan, menghormati guru dan pemimpin, patuh kepada ajaran agama, berjiwa besar, yakin dan sebagainya diterap ketika sesi pengajaran silat dan juga pengamalan adat dan adap. Dalam erti kata lain, acara adat istiadat adalah unsur yang penting dalam membentuk manusia yang bergelar Pendekar Gayong.
Justeru, semua gurulatih diminta supaya memastikan acara adat istiadat Perlimau Tapak dan Seni dilaksanakan kepada pesilat masing-masing pada peringkat hitam mulus. Garis panduan (Surat Pekeliling Adat Bil 1-2018) telahpun dikeluarkan oleh Lembaga Beradat Kebangsaan sebagai dijadikan rujukan.