ASSALAMUALAIKUM WBT
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyokong pergerakan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dibawah pendaftaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Pertubuhan ini telah didaftarkan pada 9hb April 2013 dengan nombor pendaftarannya PPM-010-04-09042013. Langkah ini diambil atas arahan pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia yang memaklumkan bahawa pendaftaran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia yang didaftarkan dibawahnya dibatalkan pada 22 April 2013, dan diminta supaya didaftarkan pula kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Dengan kelulusan pendaftaran baru ini, maka Pertubuhan sedang mengatur langkah untuk menyelaras tindakan-tindakan bagi mengukuhkan keperluan asas melancarkan pengurusan pertubuhan. Ini termasuklah pengurusan pendaftaran ahli baru, pengeluaran sijil-sijil, bekalan bengkung dan pakaian, pembangunan gurulatih, perluasan dan penambahan gelanggang, pendaftaran cawangan daerah dan negeri, dan pembangunan kecekapan pengurusan. Pertubuhan seterusnya merancang untuk memantapkan pengurusan bagi cawangan dan ahli di peringkat antarabangsa sebaik sahaja isu-isu domestik ini dapat diselesaikan.
Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia akan sentiasa mendokong dan menyokong dasar-dasar kerajaan bagi memastikan kecemerlangan dan kegemilangan negara akan dapat dicapai dengan lebih cepat terutama dari aspek pembangunan modal insan generasi muda. Melalui kegiatan silat anak-anak muda akan terbangun dalam diri mereka nilai-nilai yakin diri, semangat juang, setia kawan, taat kepada pemimpin dan cinta kepada negara. Nilai-nilai ini, Pertubuhan yakin bahawa ia mempunyai peranan yang signifikan dalam membentuk anak muda yang berpotensi untuk cemerlang sebagai global players dalam apa jua bidang yang diceburinya.
Saya amat percaya Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia berupaya untuk mendokong misi yang dinyatakan. Untuk tujuan itu Pertubuhan perlu memberi fokus dalam memainkan peranan sebagai agensi pembangunan dan perubahan sosial demi kepentingan masyarakat, negara dan agama.
Sekian. Semoga Allah sbt memberkati segala usaha kita.
DATUK ISMAIL BIN JANTAN
Yang Di Pertua
Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia