Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Laman Web Rasmi, No. Pendaftaran: PPM-010-04-09042013

         


 

28 Mac 2017

 

Lembaga Beradat Kebangsaan (LBK) telah mengadakan majlis penyampaian watikah dan sandang kepada Wakil Perlimau, Pegawai Adat Negeri (Negeri Sembilan) dan waris keluarga Dato’ Meor Abdul Rahman.  Majlis yang telah diadakan pada 25 Mac 2017 di kediaman Dato’ Paduka Hajah Siti Fadhilah Meor Abdul Rahman telah disaksikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Haniff Haji Kosnan, YDP PSSGM dan Dato’ Ismail Jantan, Pengerusi Majlis Gurulatih Kebangsaan PSSGM.

Majlis yang dianjurkan oleh LBK ini, menurut Haji Mohd Anuar Haji Abdul Hamid adalah dalam usahanya untuk mengembalikan fungsi bidang adat dalam lanskap pengurusan Silat Seni Gayong Malaysia.  Selaku Pengerusi LBK, Haji Anuar telah mengenalpasti 9 fokus isu untuk dijadikan keutamaan tindakan penyelesaian bagi membawa perubahan segera gerakan Gayong Malaysia dalam jangka masa terdekat.   Dalam masa yang sama juga LBK berusaha untuk mengangkat institusi keluarga Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bagi mengenang jasa arwah sebagai pencipta  Silat Seni Gayong.

Bagi mengembalikan nostalgia kegiatan adat di rumah Allahyarham di Taiping, maka majlis kali ini pula dikendalikan di rumah anakandanya Dato’ Paduka Siti Hajah Fadhilah. Di majlis ini juga disampaikan sandang khas Waris Keluarga Meor Abdul Rahman kepada 4 orang zuriatnya.  Sandang ini memberi pengiktirafan dan signifikan pemakainya sebagai ahli keluarga zuriat sah Dato’ Meor. Anak-anak Hajah Fadhilah yang menerima sandang khas tersebut adalah Encik Ahmad Zabid bin Hussin, Puan Zubaidah binti Hussin, Puan Siti Aluyah binti Hussin dan Puan Mashitah binti Hussin.

Menurut Cikgu Mior Badulhisham selaku Setiausaha Lembaga Beradat Kebangsaan, antara penerima watikah ahli LBK adalah Dato’ Dr. Ishak Hassan, Cikgu Ishak bin Taib, Dr. Abdul Mufti bin Ansari, Cikgu Mior Badrulhisham Kamaruzaman, Cikgu Syarizal bin Maizan, Cikgu Mohd Said bin Haji Nordin, Cikgu Addi Putera bin Haji Yaakob dan Cikgu Abdul Rais bin Abdul Rahman. Manakala penerima sandang Khalifah Besar Negeri Sembilan adalah Cikgu Mohd Said bin Haji Nordin, Cikgu Mior Badrulhisham Kamaruzaman, Cikgu Sharafuddin bin Sharif dan Cikgu Abdul Rahman bin Mahmud. Turut menerima sandang Seri Cula Pelangi (Waris Beradat) adalah Cikgu Muhammad Akramin Zikri Ali sementara Cikgu Haji Selamat bin Haji Mat Raji menerima watikah Perlimau Tapak dan Seni.

Majlis yang berlangsung di Taman Temiang Jaya, Seremban dihadiri oleh lebih 50 orang tetamu. Kebanyakan hadirin terdiri daripada ahli Jawatankuasa Beradat Negeri Sembilan dan Kebangsaan.