Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Laman Web Rasmi, No. Pendaftaran: PPM-010-04-09042013

         


 

BERITA TERKINI

15 Januari 2015

Setelah melihat wujudnya lagi kekeliruan dalam kalangan ahli-ahli Gayong Malaysia berkenaan status pendaftaran PSSGM di bawah pejabat Persuruhjaya Sukan dan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), pihak Jawatankuasa Pusat telah mengambil inisiatif membuat aduan rasmi kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) supaya maklumbalas/siasatan dibuat dalam hal tersebut.

Pada 8 Januari 2015, pihak BPA telah memberi maklumbalas secara rasmi memaklumkan bahawa pendaftaran PSSGM (no. APS 0149/98) di bawah pejabat Pesuruhjaya Sukan telah terbatal. Perkara ini telah disiasat oleh Biro Pengaduan Awam setelah mendapat maklumbalas dari pihak Pesuruhjaya Sukan dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Kes ini telah dianggap tutup.  Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) telah didaftarkan di Melaka pada 9 April 2013 (PPM-010-04-09042013) dan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGMK) telah didaftarkan di Selangor pada 27 Mei 2013 (PPM-002-10-27052013).

Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang masih menggunakan pendaftaran PSSGM berdasarkan APS akan dianggap menipu dan memalsukan fakta dalam sebarang urusan. Tindakan undang-undang akan diambil segera terhadap mereka yang berbuat demikian. Dalam masa yang sama juga ahli-ahli Gayong Malaysia dan masyarakat umum perlu meneliti penganjuran sebarang aktiviti hendaklah jelas sebelum memberi sebarang komitmen penyertaan.  Kebelakangan ini nama PSSGM sering kali digunakan oleh badan-badan lain.

 

4 November 2014

Pengeluaran Sijil Adat Perlimau Tapak dan Seni untuk murid gayong yang baru diperlimau akan mula dilaksanakan pada tahun 2015. Pengerusi Lembaga Adat Istiadat Kebangsaan, Tuan Haji Mohd Anuar bin Haji Abdul Hamid telah menjelaskan bahawa kedua-dua sijil tersebut perlu dilihat sebagai sijil yang paling penting dari semua sijil yang dikeluarkan oleh Pertubuhan kerana ianya merupakan ‘surat beranak’ murid gayong baru tersebut ke dalam dunia Silat Seni Gayong sepertimana pentingnya surat beranak JPN yang mengesahkan kita sebagai rakyat yang dilahirkan dalam negara Malaysia. Memandangkan semua murid gayong akan melalui sekali sahaja majlis Perlimau Tapak & Seni seumur hidup mereka maka sijil ini adalah sangat relevan dan signifikan dari konteks sejarah hidup murid tersebut dalam Silat Seni Gayong di masa akan datang

             Walaubagaimanapun, beliau berkata bahawa perkara ini akan hanya dapat direalisasikan sekiranya mendapat kerjasama dari semua pihak terutamanya gurulatih yang inginkan bukti anak-anak murid mereka telah ‘dilahirkan’ke dunia Silat Seni Gayong oleh gurulatih berkenaan. Pengumunan ini telah dibuat oleh Tuan Haji Mohd Anuar semasa berada di Majlis Perwatikahan Wakil Perlimau Tapak & Seni pada 30 November 2014 di Kelab Darul Ehsan, Ampang.

 

1 Jun 2014

Sepertimana lumrahnya di dunia ini sesuatu langkah yang berlandaskan hasrat dan niat baik akan diuji dengan tomahan dan sangka buruk.  Pada 2 Mei 2014 yang lalu Pertubuhan Silat Gayong Malaysia telah dipanggil mengadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (ROS) bagi menjelaskan status pendaftarannya.  Pertubuhan dituduh bahawa pendaftarannya telah mengguna dokumen yang meragukan mengikut seorang pentadbir badan silat dalam ucapannya dalam sebuah majlis anjuran Gayong Malaysia Kebangsaan.  Walaupun begitu oleh kerana tuduhannnya tidak berasas dan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dapat membuktikan bahawa pendaftarannya adalah berasaskan dokumen sebenar, maka jabatan berkaitan mengesahkan pertuduhan tersebut adalah tidak benar. Gayong Malaysia boleh terus menjalankan kegiatannya seperti biasa dan tiada halangannya untuk membuka cawangan negeri dan daerah mengikut peruntukan perlembagaan.

Gayong Malaysia menyeru kepada komuniti silat supaya pemimpin hendaklah  menjadi sebagai penyelesai masalah dan bukan sebagai punca masalah.  Dalam bidang persilatan ini, jadikanlah ia sebagai platform penyatu ummah bangsa, jangan kita pula bergeseran.  Sayangilah bangsa.

26 Mei 2014

Silat Gayong Malaysia telah diterima oleh masyarakat Melayu di negara ini terutamanya apabila ia bergerak sebagai sebuah badan berdaftar pada 22 Oktober 1963.  Walaupun begitu silat ini telah lama diajar dan diturunkan dari generasi ke generasi, malah ia sinonim dengan perkataan silat dalam masyarakat Melayu sehinggakan dirakam dalam lagu-lagu, pantun, gurindam dan seloka.

Namun ketika di zaman silam, silat dilihat sebagai kemahiran yang diperlukan oleh setiap anak muda khususnya untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga diri, keluarga dan masyarakat.  Seawal 1964, Silat Gayong telah diterima untuk diajar di maktab perguruan, sekolah, dan kemudiannya pula ke institusi pengajian tinggi.  Pentadbir maktab perguruan, sekolah dan IPTA ketika itu amat yakin silat dapat memupuk nilai-nilai baik dalam kalangan pelajar dan begitu juga ibubapa.

Walaupun begitu, dalam kerancakan kegiatan silat diterima oleh masyarakat, terdapat juga gelanggang-gelanggang silat di maktab-maktab perguruan (IPG), sekolah dan IPTA ditutup.  Kenapa agaknya? Bila gelanggang baru dibuka, ramai yang mendaftar. Dua-tiga bulan selepas itu jumlah yang menyertai latihan mula berkurangan. Kebanyakkan gurulatih bila ditanya, mereka menjawab.....biasalah tu.  Kenyataan ini semacam satu sumpahan pula kepada silat, kerana kenyataan itu diterima umum oleh ramai gurulatih silat.

Sebenarnya Silat Gayong tidak ditadbir urus dengan cekap dan berkesan. Good Governance adalah kata kunci yang harus dipegang dan amalkan pada semua peringkat. Aktiviti seperti pendaftaran ahli, pendaftaran gurulatih, pendaftaran gelanggang, pengurusan Perlimau Adat, latihan silat, ujian dan penyampaian bengkung, dan sebagainya mesti dipertingkatkan kecekapan dan tepat pada masanya. Standard Operation Procedure (SOP) dan Client Charter perlu dibangunkan dan kemudian dipatuhi.  Setiap pentadbir dan gurulatih mesti mempunyai integriti yang tinggi - berpegang kepada amanah, tanggungjawab dan janji.

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia menyeru kepada pentadbir cawangannya (gelanggang, daerah dan negeri) dan para gurulatihn, mari sama-sama kita angkat Silat Seni Gayong Malaysia menjadi sebuah gerakan yang sentiasa relevan kepada masyarakat, negara dan manusia sejagat.

 

Share
Pesuruhjaya Sukan Malaysia telah mengorak langkah untuk mengemaskan pengurusan persatuan seni bela diri khususnya silat. Surat arahan bertarikh 22 Februari 2013 kepada semua badan silat yang berdaftar di bawahnya telah diminta untuk mendaftarkan persatuan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM, atau dikenali juga dengan 'ROS'). Semua badan silat yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia telah dibatalkan 22 April 2013 dan semua fail badan-badan ini telah diserahkan kepada ROS.

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) di bawah pimpinan Dato' Ismail Jantan dan Tuan Haji Mohd Anuar bin Haji Abdul Hamid kini telah sah berdaftar kepada ROS dengan nombor pendaftaran PPM 010-04-0904-2013 dan atas nama PERTUBUHAN SILAT SENI GAYONG MALAYSIA.

Surat Pembatalan pendaftaran di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia

Surat pembatalan pendaftaran di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia
(klik gambar untuk saiz besar)

Baca Selanjutnya...


PAPARKAN BERITA DAN AKTIVITI SETEMPAT ANDA DI LAMAN WEB RASMI WWW.GAYONG.COM.MY

Anda boleh menghantar berita aktiviti berserta gambar aktiviti anda ke email

pssgm@gayong.com.my

Setiap artikel yang dihantar perlulah disertakan bersama:
Tajuk aktiviti
Penerangan aktiviti
Gambar aktiviti
Gelanggang/lokasi
Nama berserta No. Keahlian

 

Setiap artikel yang dihantar akan disaring oleh bahagian editor laman web

**Jom meriahkan Laman Web Rasmi kita**