4 November 2014
Pengeluaran Sijil Adat Perlimau Tapak dan Seni untuk murid gayong yang baru diperlimau akan mula dilaksanakan pada tahun 2015. Pengerusi Lembaga Adat Istiadat Kebangsaan, Tuan Haji Mohd Anuar bin Haji Abdul Hamid telah menjelaskan bahawa kedua-dua sijil tersebut perlu dilihat sebagai sijil yang paling penting dari semua sijil yang dikeluarkan oleh Pertubuhan kerana ianya merupakan ‘surat beranak’ murid gayong baru tersebut ke dalam dunia Silat Seni Gayong sepertimana pentingnya surat beranak JPN yang mengesahkan kita sebagai rakyat yang dilahirkan dalam negara Malaysia. Memandangkan semua murid gayong akan melalui sekali sahaja majlis Perlimau Tapak & Seni seumur hidup mereka maka sijil ini adalah sangat relevan dan signifikan dari konteks sejarah hidup murid tersebut dalam Silat Seni Gayong di masa akan datang
Walaubagaimanapun, beliau berkata bahawa perkara ini akan hanya dapat direalisasikan sekiranya mendapat kerjasama dari semua pihak terutamanya gurulatih yang inginkan bukti anak-anak murid mereka telah ‘dilahirkan’ke dunia Silat Seni Gayong oleh gurulatih berkenaan. Pengumunan ini telah dibuat oleh Tuan Haji Mohd Anuar semasa berada di Majlis Perwatikahan Wakil Perlimau Tapak & Seni pada 30 November 2014 di Kelab Darul Ehsan, Ampang.
1 Jun 2014
Sepertimana lumrahnya di dunia ini sesuatu langkah yang berlandaskan hasrat dan niat baik akan diuji dengan tomahan dan sangka buruk. Pada 2 Mei 2014 yang lalu Pertubuhan Silat Gayong Malaysia telah dipanggil mengadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (ROS) bagi menjelaskan status pendaftarannya. Pertubuhan dituduh bahawa pendaftarannya telah mengguna dokumen yang meragukan mengikut seorang pentadbir badan silat dalam ucapannya dalam sebuah majlis anjuran Gayong Malaysia Kebangsaan. Walaupun begitu oleh kerana tuduhannnya tidak berasas dan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dapat membuktikan bahawa pendaftarannya adalah berasaskan dokumen sebenar, maka jabatan berkaitan mengesahkan pertuduhan tersebut adalah tidak benar. Gayong Malaysia boleh terus menjalankan kegiatannya seperti biasa dan tiada halangannya untuk membuka cawangan negeri dan daerah mengikut peruntukan perlembagaan.
Gayong Malaysia menyeru kepada komuniti silat supaya pemimpin hendaklah menjadi sebagai penyelesai masalah dan bukan sebagai punca masalah. Dalam bidang persilatan ini, jadikanlah ia sebagai platform penyatu ummah bangsa, jangan kita pula bergeseran. Sayangilah bangsa.
26 Mei 2014
Silat Gayong Malaysia telah diterima oleh masyarakat Melayu di negara ini terutamanya apabila ia bergerak sebagai sebuah badan berdaftar pada 22 Oktober 1963. Walaupun begitu silat ini telah lama diajar dan diturunkan dari generasi ke generasi, malah ia sinonim dengan perkataan silat dalam masyarakat Melayu sehinggakan dirakam dalam lagu-lagu, pantun, gurindam dan seloka.
Namun ketika di zaman silam, silat dilihat sebagai kemahiran yang diperlukan oleh setiap anak muda khususnya untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga diri, keluarga dan masyarakat. Seawal 1964, Silat Gayong telah diterima untuk diajar di maktab perguruan, sekolah, dan kemudiannya pula ke institusi pengajian tinggi. Pentadbir maktab perguruan, sekolah dan IPTA ketika itu amat yakin silat dapat memupuk nilai-nilai baik dalam kalangan pelajar dan begitu juga ibubapa.
Walaupun begitu, dalam kerancakan kegiatan silat diterima oleh masyarakat, terdapat juga gelanggang-gelanggang silat di maktab-maktab perguruan (IPG), sekolah dan IPTA ditutup. Kenapa agaknya? Bila gelanggang baru dibuka, ramai yang mendaftar. Dua-tiga bulan selepas itu jumlah yang menyertai latihan mula berkurangan. Kebanyakkan gurulatih bila ditanya, mereka menjawab.....biasalah tu. Kenyataan ini semacam satu sumpahan pula kepada silat, kerana kenyataan itu diterima umum oleh ramai gurulatih silat.
Sebenarnya Silat Gayong tidak ditadbir urus dengan cekap dan berkesan. Good Governance adalah kata kunci yang harus dipegang dan amalkan pada semua peringkat. Aktiviti seperti pendaftaran ahli, pendaftaran gurulatih, pendaftaran gelanggang, pengurusan Perlimau Adat, latihan silat, ujian dan penyampaian bengkung, dan sebagainya mesti dipertingkatkan kecekapan dan tepat pada masanya. Standard Operation Procedure (SOP) dan Client Charter perlu dibangunkan dan kemudian dipatuhi. Setiap pentadbir dan gurulatih mesti mempunyai integriti yang tinggi - berpegang kepada amanah, tanggungjawab dan janji.
Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia menyeru kepada pentadbir cawangannya (gelanggang, daerah dan negeri) dan para gurulatihn, mari sama-sama kita angkat Silat Seni Gayong Malaysia menjadi sebuah gerakan yang sentiasa relevan kepada masyarakat, negara dan manusia sejagat.
12 April 2014
Bagi menyemai minat bersilat dalam kalangan murid sekolah rendah berusia 12 tahun dan kebawah), PSSGM telah menggubal silibus yang bersesuaian. Inisiatif ini telah diambil oleh PSSGM Negeri Selangor. Silibus yang dibangunkan adalah berasaskan dari silibus Dewasa pelajaran bengkung Asas hingga Pelangi Hijau. Setiap peringkat silibus pelajaran ini dibahagi dua, iaitu silibus pelajaran Asas dibahagi dua sehingga bengkung Pelangi Hijau juga dibahagi dua (rujuk Silibus Pelajaran).
Anak-anak yang mengikuti silibus ini seperti biasa, akan menjalani ujian kenaikan bengkung. Mereka akan memperoleh bengkung sekiranya berjaya dalam ujian. Bengkung kanak-kanak akan bermula dengan bengkung Asas dan kemudian Awan Putih Cula Hijau. Pada peringkat bengkung Awan Putih Cula Merah dan Awan Putih Cula Kuning, pelajarannya adalah bersamaan dengan bengkung Awan Putih pesilat dewasa. Jika seseorang anak berjaya mendapat bengkung ini dan kemudiannya menyambung latihan silatnya di sekolah menengah, maka kedudukan bengkungnya adalah sama dengan Awan Putih Dewasa dan layaklah dia mengikuti pelajaran untuk mendapat bengkung Pelangi Hijau.
Jika sebaliknya anak ini masih berada di sekolah rendah, maka dia harus mengikuti latihan silat untuk mendapat bengkung Awan Putih Cula Hitam. Selepas berjaya mendapat bengkung tersebut, maka anak ini akan mengikuti pelajaran bengkung Pelangi Hijau. Sekiranya anak ini menyambung latihan silatnya di sekolah menengah atau sudah berumur 13 tahun, maka hendaklah ia sambung mengikuti pelajaran Pelangi Hijau untuk mengambil ujian kenaikan bengkung Pelangi Merah.
Model Silibus Latihan Kanak-kanak
Asas + Awan Putih Cula Hijau = Asas (Dewasa)
Awan Putih Cula Merah + Awan Putih Cula Kuning = Awan Putih (Dewasa)
Awan Putih Cula Hitam = Pelangi Hijau (Dewasa)
Gurulatih disyorkan untuk membuka banyak gelanggang latihan di sekolah rendah kerana negara akan dapat melahirkan anak-anak yang akan cinta dengan budaya bangsa khususnya silat pada peringkat umur muda dan dalam masa yang sama dapat menerap serta menyemai nilai murni seperti berani, cekal, menghormati guru dan orang tua, semangat patriotik, yakin kepada diri dan sebagainya pada umur yang awal. Langkah ini juga menepati kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dalam kenyataan Aspirasi Murid yang berharap bahawa pelan tersebut dapat melahirkan anak- anak yang mempunyai Jati Diri Bangsa atau National Identiti.
8 April 2014
Silat Seni Gayong Malaysia adalah satu-satunya silat bangsa Melayu yang mempunyai silibus yang disusun rapi dengan menggunakan bengkung berwarna sebagai sistem mengukur prestasi atau pencapaian pesilat. Tan Sri Mubin Sheppard seorang pengkaji budaya Melayu yang ternama telah menulis dapatannya dalam sebuah buku terbitan awal tahun 1970an hasil pemerhatian selama beberapa tahun.
Pada tahun 1989, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Bahagian Negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk menyusun semula silibus pelajaran latihannya bagi menyesuaikan langkah untuk mengembangkan kegiatannya di sekolah menengah secara agresif. Tuan Haji Mohd Anuar Hj Abdul Hamid, Tuan Haji Mohd Sani bin Morni, Encik Mohamed Faid bin Musa dan Encik Rasol bin Abdul Ghani, telah diminta oleh Allahyarham Tuan Haji Mohd Razali bin Salleh, YDP PSSGM Selangor ketika itu, untuk mengkaji dan mengemaskan silibus pelajaran yang sedia ada dan melengkapkanya untuk tujuan tersebut.
Silibus pelajaran Silat Gayong Malaysia yang diajar di sekolah pada hari ini merupakan evolusi dari usaha tersebut. Susunan pelajaran ini mengambilkira faktor permainan senjata tidak digalakkan di sekolah, pelajaran yang diajar perlu menarik dan dapat mengekalkan minat murid secara berterusan dan jangan ada ‘rahsia atau hak kita’ terlepas kepada orang lain. Maka silibus pelajaran PSSGM Selangor di sekolah dan remaja telah diatur supaya kemahiran dari peringkat Asas sehingga Pelangi Merah Cula 3 tiada pelajaran senjata diberi. Pelajaran tangan kosong dilengkapkan sepenuhnya dari aspek gerakan asas, gerakan asas elakan, gerakan golongan dan permainan pentas. Pelajaran Kunci Mati diajar sebagai pelajaran di peringkat bengkung Pelangi Merah Cula 1 sebagai langkah pelajaran ‘rahsia atau hak kita’ ini tidak diberikan terlalu awal, sebaliknya pelajaran Kombat diperkenalkan dari peringkat bengkung Awan Putih.
Dengan susunan yang sebegini rupa pesilat lelaki dan pesilat wanita diajar dengan pelajaran yang hampir sama (rujuk Susunan Pelajaran) dari peringkat bengkung Asas sehingga Harimau Pelangi Hitam Cula Sakti 5. Perbezaannya ialah di peringkat latihan lompatan, pesilat lelaki dikehendaki membuat variasi lompatan yang pelbagai berbanding dengan pesilat wanita kerana faktor keselamatan dan kesihatan. Berasaskan susunan ini setiap pesilat boleh menguasai pelajaran dalam tempuh 48 jam sebelum diuji untuk kenaikan bengkung dan jika latihan diberi tumpuan sepenuhnya, seorang pesilat boleh menjalani ujian sebanyak 2 kali setahun.
Halaman 6ari 7
PAPARKAN BERITA DAN AKTIVITI SETEMPAT ANDA DI LAMAN WEB RASMI WWW.GAYONG.COM.MY
Anda boleh menghantar berita aktiviti berserta gambar aktiviti anda ke email
pssgm@gayong.com.my
Setiap artikel yang dihantar perlulah disertakan bersama:
Tajuk aktiviti
Penerangan aktiviti
Gambar aktiviti
Gelanggang/lokasi
Nama berserta No. Keahlian
Setiap artikel yang dihantar akan disaring oleh bahagian editor laman web
**Jom meriahkan Laman Web Rasmi kita**