Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Laman Web Rasmi, No. Pendaftaran: PPM-010-04-09042013

         


 

BERITA TERKINI

17 April 2017

          Di penghujung Majls Pelancaran Tabung Kecemerlangan PSSGM Selangor, kumpulan Harimau Wilayah yang diketuai oleh Cikgu Zulkafli bin Yusof telah menyerahkan secara rasmi sebanyak 250 borang keahlian PSSGM kepada YDP PSSGM Pusat, YB Dato’ Mohd Hanif bin Haji Koslan. Dato’ Mohd Hanif kemudiannya menyerahkan kepada wakil PSSGM Wilayah Persekutuan KL/Putrajaya iaitu Cikgu Abdul Rais bin Abdul Rahman dan Cikgu Mohd Awaluddin bin Marsuk. Dengan penyerahan borang-borang tersebut maka lebih 90% keseluruhan gelanggang dan keahlian anak-anak Gayong dalam Kuala Lumpur telah berdaftar di bawah PSSGM.

          Usaha yang dibuat oleh kumpulan ini yang mewakili separuh dari keseluruhan gelanggang Silat Gayong di Kuala Lumpur adalah sebagai pengiktirafan kepada PSSGM sebagai pertubuhan yang sah di bawah pendaftaran ROS. Seramai 10 orang gurulatih dari kumpulan tersebut telah hadir bersama-sama dalam majlis itu. 

 

 

28 Mac 2017

 

Lembaga Beradat Kebangsaan (LBK) telah mengadakan majlis penyampaian watikah dan sandang kepada Wakil Perlimau, Pegawai Adat Negeri (Negeri Sembilan) dan waris keluarga Dato’ Meor Abdul Rahman.  Majlis yang telah diadakan pada 25 Mac 2017 di kediaman Dato’ Paduka Hajah Siti Fadhilah Meor Abdul Rahman telah disaksikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Haniff Haji Kosnan, YDP PSSGM dan Dato’ Ismail Jantan, Pengerusi Majlis Gurulatih Kebangsaan PSSGM.

Majlis yang dianjurkan oleh LBK ini, menurut Haji Mohd Anuar Haji Abdul Hamid adalah dalam usahanya untuk mengembalikan fungsi bidang adat dalam lanskap pengurusan Silat Seni Gayong Malaysia.  Selaku Pengerusi LBK, Haji Anuar telah mengenalpasti 9 fokus isu untuk dijadikan keutamaan tindakan penyelesaian bagi membawa perubahan segera gerakan Gayong Malaysia dalam jangka masa terdekat.   Dalam masa yang sama juga LBK berusaha untuk mengangkat institusi keluarga Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bagi mengenang jasa arwah sebagai pencipta  Silat Seni Gayong.

Bagi mengembalikan nostalgia kegiatan adat di rumah Allahyarham di Taiping, maka majlis kali ini pula dikendalikan di rumah anakandanya Dato’ Paduka Siti Hajah Fadhilah. Di majlis ini juga disampaikan sandang khas Waris Keluarga Meor Abdul Rahman kepada 4 orang zuriatnya.  Sandang ini memberi pengiktirafan dan signifikan pemakainya sebagai ahli keluarga zuriat sah Dato’ Meor. Anak-anak Hajah Fadhilah yang menerima sandang khas tersebut adalah Encik Ahmad Zabid bin Hussin, Puan Zubaidah binti Hussin, Puan Siti Aluyah binti Hussin dan Puan Mashitah binti Hussin.

Menurut Cikgu Mior Badulhisham selaku Setiausaha Lembaga Beradat Kebangsaan, antara penerima watikah ahli LBK adalah Dato’ Dr. Ishak Hassan, Cikgu Ishak bin Taib, Dr. Abdul Mufti bin Ansari, Cikgu Mior Badrulhisham Kamaruzaman, Cikgu Syarizal bin Maizan, Cikgu Mohd Said bin Haji Nordin, Cikgu Addi Putera bin Haji Yaakob dan Cikgu Abdul Rais bin Abdul Rahman. Manakala penerima sandang Khalifah Besar Negeri Sembilan adalah Cikgu Mohd Said bin Haji Nordin, Cikgu Mior Badrulhisham Kamaruzaman, Cikgu Sharafuddin bin Sharif dan Cikgu Abdul Rahman bin Mahmud. Turut menerima sandang Seri Cula Pelangi (Waris Beradat) adalah Cikgu Muhammad Akramin Zikri Ali sementara Cikgu Haji Selamat bin Haji Mat Raji menerima watikah Perlimau Tapak dan Seni.

Majlis yang berlangsung di Taman Temiang Jaya, Seremban dihadiri oleh lebih 50 orang tetamu. Kebanyakan hadirin terdiri daripada ahli Jawatankuasa Beradat Negeri Sembilan dan Kebangsaan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

31 Jan 2017

     Dengan segala hormatnya Lembaga Beradat Kebangsaan telah ditubuhkan semula pada 24 September 2016.  Berikutan dengan ini, Dato’ Paduka Hajah Siti Fadhillah Dato’ Meor Abdul Rahman, Waris Mutlak Gayong Malaysia telah berkenan dengan senarai Jawatankuasa Lembaga Beradat Kebangsaan yang dicadangkan oleh Tuan Haji Mohd Anuar Haji Abdul Hamid, Pengerusi Lembaga Beradat Kebangsaan (LBK) pada 1 Oktober 2016.  Langkah seterusnya LBK sedang berusaha untuk menentukan supaya Gayong Malaysia Cawangan setiap negeri pula membentuk Lembaga Beradat Negeri (LBN) masing-masing.  Langkh pertama yang perlu diambil ialah untuk menamakan Pengerusi LBN. Majlis penyampaian watikah kepada Pengerusi LBN yang masih belum menerima watikah akan diadakan pada 4 Mac 2017.  Bagi menghidupkan lembaga beradat negeri maka aktiviti berikut hendaklah dianjurkan cawangan negeri:

 

 

     i.                Anugerah sandang

     ii.              Tahlil sempena meninggal dunia Allahyaryam Dato’ Meor/gurulatih kanan

     iii.            Korban Dato’ Meor/gurulatih kanan sempena Hari Raya Aidil Adha

     iv.            Perlimau Tapak/Seni

     v.              Mandi minyak

 

 

 

16 Jan 2017

     Bagi tujuan memperkemaskan pengurusan pengeluaran dan penganugerahan sandang kebesaran Silat Seni Gayong Malaysia, sijil iringan yang dikurniakan akan didaftar cetak oleh pihak Ibu Pejabat.  Mereka yang menerima sandang juga turut akan dibekalkan dengan Buku Peraturan Adat bagi menjelaskan jenis dan fungsi sandang dalam sistem pengurusan Silat Seni Gayong Malaysia.  Peraturan ini ditetapkan untuk mengelak dari berlakunya penganugerahan berlaku sewenang-wenangnya kepada anggota masyarakat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dari kalangan orang-orang Gayong yang dikatakan  mempunyai autoriti dan berpengetahuan mengenai penganugerahan sandang kebesaran Gayong Malaysia.

     Terdapat 13 jenis sandang berjawatan, 8 jenis sandang kehormat dan 3 jenis sandang khas.  Setiap jenis sandang ini mempunyai fungsi dan kriteria penyandangnya tersendiri. Kajian sedang dibuat untuk mengenalpasti batasan penganugerahan sandang pada peringkat pusat, negeri dan daerah dari aspek penyampai dan jenis sandangnya.  Sebarang aktiviti berkaitan buat masa ini, diminta semua pihak yang berhasrat untuk menganjur aktiviti berkaitan supaya merujuk kepada Lembaga Beradat Kebangsaan (LBK).

 

  

18 Jan 2017

 

 

        YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah dianugerahkan sandang kehormat Gayong Malaysia, Mahkota Agong Seri Bintang Pelangi. Majlis penganugerahan ini telah diadakan pada 29 Oktober 2016 di Hotel Premeiro, Kuala Lumpur oleh Dato’ Paduka Hajjah Siti Fadhilah Dato’ Meor Abdul Rahman, Waris Mutlak Silat Seni Gayong Malaysia.  Turut hadir meraikan  majlis tersebut ialah Waris-waris Amanah PSSGM, Dato’ Ismail Jantan, Dato’ Paduka (Dr) Ishak Hassan, Tuan Haji Mohd Anuar Haji Abdul Hamid, YB Datuk Haji Mohd Haniff Haji Kosnan selaki mam Khalifah PSSGM Selangor dan pimpinan pentadbiran serta adat beberapa negeri yang lain.

     Buat pertama kalinya penyampaian sandang telah dilengkapi dengan penyerahan buku panduan yang menjelaskan jenis serta fungsi sandang.  YB Datuk Haji Mohd Haniff, mewakili keseluruhan ahli PSSGM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan diatas kesudian YB Dato’ Sri Ismail menerima sandang Gayong Malaysia.  YB Dato’ Sri dalam ucapan balasnya memaklumkan bersedia untuk memberi sumbangan bagi membangunkan gelanggang pusat setiap negeri.

 


PAPARKAN BERITA DAN AKTIVITI SETEMPAT ANDA DI LAMAN WEB RASMI WWW.GAYONG.COM.MY

Anda boleh menghantar berita aktiviti berserta gambar aktiviti anda ke email

pssgm@gayong.com.my

Setiap artikel yang dihantar perlulah disertakan bersama:
Tajuk aktiviti
Penerangan aktiviti
Gambar aktiviti
Gelanggang/lokasi
Nama berserta No. Keahlian

 

Setiap artikel yang dihantar akan disaring oleh bahagian editor laman web

**Jom meriahkan Laman Web Rasmi kita**