Badan Pentadbiran Pertubuhan merupakan badan utama dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pembangunan Silat Seni Gayong Malaysia. Terkini, ianya berdaftar dibawah Akta Pertubuhan 1966 dengan no. pendaftaran PPM-010-04-09042013.
Pertubuhan ini bertindak memenuhi kehendak dasar-dasar kerajaan yang berkaitan dan berperanan sebagai agensi penghubung dengan organisasi luar dalam isu-isu yang berkaitan dengan Silat Seni Gayong Malaysia.
Badan Pentadbiran PSSGM dibantu oleh dua organisasi dalaman dengan tujuan mengukuhkan pengurusan dan pentadbiran Pertubuhan iaitu Majlis Gurulatih dan Lembaga Beradat. Perkara ini telah diperuntukan di dalam Perlembagaan Pertubuhan perkara 30 dan 31.
Bagi memudahkan pengurusan pentadbiran, struktur organisasi pentadbiran telah disusunsemula kepada 3 peringkat iaitu peringkat pusat, negeri dan daerah.
Setiap peringkat ini mempunyai jawatankuasa dan kuasa pentadbiran masing-masing menurut perlembagaan pertubuhan apabila berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan di bawah kuasa Akta Pertubuhan 1966.
Struktur organisasi pentadbiran peringkat Pusat, Negeri dan Daerah adalah seperti berikut :
Jawatankuasa Pusat
Jawatankuasa Negeri
Jawatankuasa Daerah
Jawatankuasa Pusat, Negeri dan Daerah dibentuk setiap 2 tahun dalam Mesyuarat Perwakilan Agung di peringkat masing-masing. Kesemua pemegang jawatan dilantik oleh perwakilan melalui undian majoriti melainkan jawatan Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari.
Setiausaha dilantik sendiri oleh Yang DiPertua/Pengerusi manakala Penolong Setiausaha dilantik oleh Setiausaha dengan persetujuan Yang Dipertua/Pengerusi.
Bendahari dilantik oleh Yang DiPertua/Pengerusi dengan persetujuan ahli jawatankuasa.
Ahli jawatankuasa tambahan boleh dilantik oleh Yang Di Pertua mengikut budi bicaranya, sebagai tambahan daripada jawatankuasa yang sedia ada.