Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Laman Web Rasmi, No. Pendaftaran: PPM-010-04-09042013

         


 

26 Mei 2014

Silat Gayong Malaysia telah diterima oleh masyarakat Melayu di negara ini terutamanya apabila ia bergerak sebagai sebuah badan berdaftar pada 22 Oktober 1963.  Walaupun begitu silat ini telah lama diajar dan diturunkan dari generasi ke generasi, malah ia sinonim dengan perkataan silat dalam masyarakat Melayu sehinggakan dirakam dalam lagu-lagu, pantun, gurindam dan seloka.

Namun ketika di zaman silam, silat dilihat sebagai kemahiran yang diperlukan oleh setiap anak muda khususnya untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga diri, keluarga dan masyarakat.  Seawal 1964, Silat Gayong telah diterima untuk diajar di maktab perguruan, sekolah, dan kemudiannya pula ke institusi pengajian tinggi.  Pentadbir maktab perguruan, sekolah dan IPTA ketika itu amat yakin silat dapat memupuk nilai-nilai baik dalam kalangan pelajar dan begitu juga ibubapa.

Walaupun begitu, dalam kerancakan kegiatan silat diterima oleh masyarakat, terdapat juga gelanggang-gelanggang silat di maktab-maktab perguruan (IPG), sekolah dan IPTA ditutup.  Kenapa agaknya? Bila gelanggang baru dibuka, ramai yang mendaftar. Dua-tiga bulan selepas itu jumlah yang menyertai latihan mula berkurangan. Kebanyakkan gurulatih bila ditanya, mereka menjawab.....biasalah tu.  Kenyataan ini semacam satu sumpahan pula kepada silat, kerana kenyataan itu diterima umum oleh ramai gurulatih silat.

Sebenarnya Silat Gayong tidak ditadbir urus dengan cekap dan berkesan. Good Governance adalah kata kunci yang harus dipegang dan amalkan pada semua peringkat. Aktiviti seperti pendaftaran ahli, pendaftaran gurulatih, pendaftaran gelanggang, pengurusan Perlimau Adat, latihan silat, ujian dan penyampaian bengkung, dan sebagainya mesti dipertingkatkan kecekapan dan tepat pada masanya. Standard Operation Procedure (SOP) dan Client Charter perlu dibangunkan dan kemudian dipatuhi.  Setiap pentadbir dan gurulatih mesti mempunyai integriti yang tinggi - berpegang kepada amanah, tanggungjawab dan janji.

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia menyeru kepada pentadbir cawangannya (gelanggang, daerah dan negeri) dan para gurulatihn, mari sama-sama kita angkat Silat Seni Gayong Malaysia menjadi sebuah gerakan yang sentiasa relevan kepada masyarakat, negara dan manusia sejagat.