Pihak pertubuhan dimaklumkan bahawa bukan sahaja pertubuhan pada peringkat kebangsaan perlu didaftarkan, tetapi juga pertubuhan cawangan negeri dan daerah. Setakat ini sebanyak 14 buah cawangan daerah dan 4 buah cawangan negeri Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia telah berdaftar di bawah ROS.
Pihak pertubuhan berharap supaya semua daerah dan negeri yang lain mengambil inisiatif yang sama. Pentadbir PSSGM cawangan daerah dan negeri yang berdaftar kepada Pesuruhjaya Sukan sebelum ini diminta untuk menyemak status masing-masing dan mengambil tindakan sewajarnya. Langkah ini akan membolehkan Silat Seni Gayong Malaysia bergerak dan berkembang secara teratur dan berkesan di seluruh negara. Pertubuhan ini menyarankan supaya kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk mendaftarkan cawangannya, maka hendaklah menghubungi Setiausaha Agung, Pn Mariam Bujang untuk proses mendapat kebenaran menubuhkan cawangan dari ROS, dan kemudiannya mendaftarkan cawangan tersebut kepada pihak berkenaan.
Kebelakangan ini terdapat pihak tertentu menggunakan nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) atas maksud organisasi lain. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Tindakan ini telah menyalahi undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan etika tadbir urus pertubuhan.