16hb Julai 2015
Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penerimaan badan-badan Gayong Malaysia yang diwujudkan sebagai akademi atau kelab mahupun penerimaan pertubuhan Gayong Malaysia luar negara kepada PSSGM, sebagai Induk, telahpun siap untuk dibentang dan diteliti oleh Jawatankuasa Pusat. Penderafan dokumen ini ialah untuk membanteras penubuhan badan-badan persilatan Gayong Malaysia secara tidak terkawal dan mengelirukan masyarakat. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia juga melihat ini sebagai langkah tegas untuk menentukan Malaysia sebagai negara asal dan rujukan kepada perguruan Silat Seni Gayong.
Antara perkara yang dituntut dalam deraf MoU yang dicadangkan ini ialah tentang penyeragaman adat istiadat, pakaian dan pelajarannya. Perkara-perkara ini mempengaruhi jati diri dan rupa bentuk silat yang dipamerkan oleh pesilat kepada khalayak dan juga sesama sendiri. Apabila dokumen MoU ini telah dipersetujui untuk diterima pakai kelak, maka badan-badan yang menggunakan nama Silat Seni Gayong Malaysia akan ditawarkan untuk menjadi badan gabungan kepada PSSGM. Dengan demikian badan-badan ini boleh menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh PSSGM.