2 Okt 2016
Keluarga Dato Meor Abdul Rahman menyatakan rasa tidak senang dengan banyak pihak yang menggunakan nama, imej atau sejarah Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bagi mendapat sokongan aktiviti atau program yang dianjurkan. Begitu juga dengan penubuhan persatuan atau pertubuhan yang bersandarkan atas nama Silat Seni Gayong ciptaan Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman. Kadangkala pihak berkenaan turut juga mencetak gambar Allahyarham sebagai usaha mendapat sokongan masyarakat. Pihak waris merasakan sudah sampai masanya perkara ini perlu dikawal dan akhirnya dihentikan.
Buat masa ini hanya Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia sahaja yang dibenarkan untuk mengguna nama dan mencetak gambar Allahyarham. Usaha sedang diambil bagi pihak keluarga mengambil tindakan undang undang jika ada pihak yang melanggar atau tidak mendapat kebenaran menggunakan nama atau mencetak gambar Dato Meor Abdul Rahman.
1 Sept 2016
Melalui surat siaran KPM Bil 10 Tahun 2016 bertarikh 24 Ogos 2016, Kementerian Pendidikan telah meluluskan pelaksanaan Program 1 Silat 1 Sekolah (1S1S). Program ini adalah dibawah inisiatif PESAKA dalam usahanya untuk membentuk pasukan pesilat di kalangan anak-anak sekolah. Dalam usaha ini pihak berkenaan telah membangunkan sebuah silibus secara spesifik dalam konteks penyediaan jurulatih, persijilan dan tingkatan bengkungnya sekali. Meskipun begitu, KPM telah meletakkan persetujuan bahawa ianya adalah merupakan program tawaran kepada sekolah-sekolah yang telah mengadakan kegiatan silat. Program ini tidak boleh berdiri dengan sendirinya tanpa kewujudan silat perguruan dalam sekolah terlebih dahulu.
Pihak PESAKA telah mensyaratkan bahawa program ini hanya boleh dikendalikan oleh jurulatih yang telah ditauliahkannya, iaitu yang telah mengikuti kursus dan diluluskan oleh pihaknya. Namun, semua ahli dan gurulatih Gayong Malaysia harus maklum bahawa penubuhan gelanggang di sekolah-sekolah tidak tertakluk kepada pelaksanaan program ini. KPM masih kekal dengan syarat dan peraturan sedia ada serta meneruskan aktiviti pertandingan silat anjuran tahunannya. Pihak PSSGM amat menyokong usaha baik PESAKA dalam menghasilkan atlit negara melalui program ini. Untuk itu, pihak PSSGM bersedia menerima rundingan dan persefahaman dari pihak PESAKA bagi menyusun latihan serta pentauliahan menjalankan latihan 1S1S di gelanggang sekolah kendalian Gayong Malaysia di seluruh negara.
Salinan surat siaran dan garis panduan pelaksanaan 1Silat 1Sekolah untuk rujukan umum boleh dimuat turun dari menu 'Muat Turun Borang' atau klik di tajuk artikel ini di atas.
7hb Januari 2016
Mesyuarat Jawatankuasa Pusat 4/2015 pada 15 Ogos 2015 telah meluluskan cadangan penubuhan Majlis Wakil Perlimau Kebangsaan oleh Pengerusi Lembaga Adat Kebangsaan di mana Mesyuarat Penubuhan Majlis Wakil Perlimau Kebangsaan yang telah berlangsung pada 7 November 2015 telah memuktamadkannya.
Sehubungan itu, pengurusan Acara Perlimau Tapak dan Seni bagi seseorang murid atau kumpulan murid hendaklah dikendalikan dalam tempuh 49 hari bermula dari hari taklimat kepada murid sehinggalah penyerahan Sijil Perlimau Tapak/Seni. Urusan ini hendaklah dikendalikan selewat-lewatnya pada 30 April bagi murid sekolah (rendah/menengah), manakala pelajar IPT pada 31 Oktober setiap tahun. Bagi gelanggang awam dan lain-lain organisasi boleh memilih tarikh yang bersesuaian tetapi hendaklah menepati tempuh urusan 49 hari.
Yuran kutipan Perlimau Tapak ditetapkan pada kadar RM 11.50, dan kadar Perlimau Seni ialah RM 21.50. Dari jumlah ini, sebanyak RM 7.50 dari yuran Perlimau Tapak dan RM 17.50 yuran Perlimau Seni diserahkan ke Akaun PSSGM Pusat (Akaun Maybank 552209630106). Kedua-dua potongan ini adalah untuk diserahkan kepada waris Dato’ Meor Abdul Rahman dan Tabung Adat Kebangsaan. Manakala baki yuran RM 4.00 bagi kedua-dua acara diserahkan kepada pihak negeri untuk diagih-agihkan. Setiap murid dikenakan bayaran tambahan RM2.00 untuk membiayai kos pengeluaran Sijil Perlimau Tapak/Seni.
16hb Julai 2015
Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penerimaan badan-badan Gayong Malaysia yang diwujudkan sebagai akademi atau kelab mahupun penerimaan pertubuhan Gayong Malaysia luar negara kepada PSSGM, sebagai Induk, telahpun siap untuk dibentang dan diteliti oleh Jawatankuasa Pusat. Penderafan dokumen ini ialah untuk membanteras penubuhan badan-badan persilatan Gayong Malaysia secara tidak terkawal dan mengelirukan masyarakat. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia juga melihat ini sebagai langkah tegas untuk menentukan Malaysia sebagai negara asal dan rujukan kepada perguruan Silat Seni Gayong.
Antara perkara yang dituntut dalam deraf MoU yang dicadangkan ini ialah tentang penyeragaman adat istiadat, pakaian dan pelajarannya. Perkara-perkara ini mempengaruhi jati diri dan rupa bentuk silat yang dipamerkan oleh pesilat kepada khalayak dan juga sesama sendiri. Apabila dokumen MoU ini telah dipersetujui untuk diterima pakai kelak, maka badan-badan yang menggunakan nama Silat Seni Gayong Malaysia akan ditawarkan untuk menjadi badan gabungan kepada PSSGM. Dengan demikian badan-badan ini boleh menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh PSSGM.
15 Januari 2015
Setelah melihat wujudnya lagi kekeliruan dalam kalangan ahli-ahli Gayong Malaysia berkenaan status pendaftaran PSSGM di bawah pejabat Persuruhjaya Sukan dan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), pihak Jawatankuasa Pusat telah mengambil inisiatif membuat aduan rasmi kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) supaya maklumbalas/siasatan dibuat dalam hal tersebut.
Pada 8 Januari 2015, pihak BPA telah memberi maklumbalas secara rasmi memaklumkan bahawa pendaftaran PSSGM (no. APS 0149/98) di bawah pejabat Pesuruhjaya Sukan telah terbatal. Perkara ini telah disiasat oleh Biro Pengaduan Awam setelah mendapat maklumbalas dari pihak Pesuruhjaya Sukan dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Kes ini telah dianggap tutup. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) telah didaftarkan di Melaka pada 9 April 2013 (PPM-010-04-09042013) dan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGMK) telah didaftarkan di Selangor pada 27 Mei 2013 (PPM-002-10-27052013).
Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang masih menggunakan pendaftaran PSSGM berdasarkan APS akan dianggap menipu dan memalsukan fakta dalam sebarang urusan. Tindakan undang-undang akan diambil segera terhadap mereka yang berbuat demikian. Dalam masa yang sama juga ahli-ahli Gayong Malaysia dan masyarakat umum perlu meneliti penganjuran sebarang aktiviti hendaklah jelas sebelum memberi sebarang komitmen penyertaan. Kebelakangan ini nama PSSGM sering kali digunakan oleh badan-badan lain.
Halaman 5ari 7
PAPARKAN BERITA DAN AKTIVITI SETEMPAT ANDA DI LAMAN WEB RASMI WWW.GAYONG.COM.MY
Anda boleh menghantar berita aktiviti berserta gambar aktiviti anda ke email
pssgm@gayong.com.my
Setiap artikel yang dihantar perlulah disertakan bersama:
Tajuk aktiviti
Penerangan aktiviti
Gambar aktiviti
Gelanggang/lokasi
Nama berserta No. Keahlian
Setiap artikel yang dihantar akan disaring oleh bahagian editor laman web
**Jom meriahkan Laman Web Rasmi kita**