Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Laman Web Rasmi, No. Pendaftaran: PPM-010-04-09042013

 

 

 

SELURUH JAWATANKUASA PUSAT INGIN MENGUCAPKAN

 

SELAMAT HARI GURU 2016

 

KEPADA SEMUA GURU-GURU GAYONG DI SELURUH NEGARA

 

SEMOGA ILMU YANG DIPERTURUNKAN MENDAPAT MANFAAT DI DUNIA DAN

BARAKAH DI AKHIRAT KELAK, INSYA-ALLAH

 

 

7hb Januari 2016 

Mesyuarat Jawatankuasa Pusat 4/2015 pada 15 Ogos 2015 telah meluluskan cadangan penubuhan Majlis Wakil Perlimau Kebangsaan oleh Pengerusi Lembaga Adat Kebangsaan di mana Mesyuarat Penubuhan Majlis Wakil Perlimau Kebangsaan yang telah berlangsung pada 7 November 2015 telah memuktamadkannya.

Sehubungan itu, pengurusan Acara Perlimau Tapak dan Seni bagi seseorang murid atau kumpulan murid hendaklah dikendalikan dalam tempuh 49 hari bermula dari hari taklimat kepada murid sehinggalah penyerahan Sijil Perlimau Tapak/Seni.  Urusan ini hendaklah dikendalikan selewat-lewatnya pada 30 April bagi murid sekolah (rendah/menengah), manakala pelajar IPT pada 31 Oktober setiap tahun.  Bagi gelanggang awam dan lain-lain organisasi boleh memilih tarikh yang bersesuaian tetapi hendaklah menepati tempuh urusan 49 hari. 

Yuran kutipan Perlimau Tapak ditetapkan pada kadar RM 11.50, dan kadar Perlimau Seni ialah RM 21.50. Dari jumlah ini, sebanyak RM 7.50 dari yuran Perlimau Tapak dan RM 17.50 yuran Perlimau Seni diserahkan ke Akaun PSSGM Pusat (Akaun Maybank 552209630106).  Kedua-dua potongan ini adalah untuk diserahkan kepada waris Dato’ Meor Abdul Rahman dan Tabung Adat Kebangsaan.  Manakala baki yuran RM 4.00 bagi kedua-dua acara diserahkan kepada pihak negeri untuk diagih-agihkan. Setiap murid dikenakan bayaran tambahan RM2.00 untuk membiayai kos pengeluaran Sijil Perlimau Tapak/Seni.

 

16hb Julai 2015

Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penerimaan badan-badan Gayong Malaysia yang diwujudkan sebagai akademi atau kelab mahupun penerimaan pertubuhan Gayong Malaysia luar negara kepada PSSGM, sebagai Induk, telahpun siap untuk dibentang dan diteliti oleh Jawatankuasa Pusat.  Penderafan dokumen ini ialah untuk membanteras penubuhan badan-badan persilatan Gayong Malaysia secara tidak terkawal dan mengelirukan masyarakat.  Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia juga melihat ini sebagai langkah tegas untuk menentukan Malaysia sebagai negara asal dan rujukan kepada perguruan Silat Seni Gayong.

Antara perkara yang dituntut dalam deraf MoU yang dicadangkan ini ialah tentang penyeragaman adat istiadat, pakaian dan pelajarannya.  Perkara-perkara ini mempengaruhi jati diri dan rupa bentuk silat yang dipamerkan oleh pesilat kepada khalayak dan juga sesama sendiri. Apabila dokumen MoU ini telah dipersetujui untuk diterima pakai kelak, maka badan-badan yang menggunakan nama Silat Seni Gayong Malaysia akan ditawarkan untuk menjadi badan gabungan kepada PSSGM.  Dengan demikian badan-badan ini boleh menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh PSSGM.

 

15 Januari 2015

Setelah melihat wujudnya lagi kekeliruan dalam kalangan ahli-ahli Gayong Malaysia berkenaan status pendaftaran PSSGM di bawah pejabat Persuruhjaya Sukan dan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), pihak Jawatankuasa Pusat telah mengambil inisiatif membuat aduan rasmi kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) supaya maklumbalas/siasatan dibuat dalam hal tersebut.

Pada 8 Januari 2015, pihak BPA telah memberi maklumbalas secara rasmi memaklumkan bahawa pendaftaran PSSGM (no. APS 0149/98) di bawah pejabat Pesuruhjaya Sukan telah terbatal. Perkara ini telah disiasat oleh Biro Pengaduan Awam setelah mendapat maklumbalas dari pihak Pesuruhjaya Sukan dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Kes ini telah dianggap tutup.  Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) telah didaftarkan di Melaka pada 9 April 2013 (PPM-010-04-09042013) dan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGMK) telah didaftarkan di Selangor pada 27 Mei 2013 (PPM-002-10-27052013).

Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang masih menggunakan pendaftaran PSSGM berdasarkan APS akan dianggap menipu dan memalsukan fakta dalam sebarang urusan. Tindakan undang-undang akan diambil segera terhadap mereka yang berbuat demikian. Dalam masa yang sama juga ahli-ahli Gayong Malaysia dan masyarakat umum perlu meneliti penganjuran sebarang aktiviti hendaklah jelas sebelum memberi sebarang komitmen penyertaan.  Kebelakangan ini nama PSSGM sering kali digunakan oleh badan-badan lain.

 

4 November 2014

Pengeluaran Sijil Adat Perlimau Tapak dan Seni untuk murid gayong yang baru diperlimau akan mula dilaksanakan pada tahun 2015. Pengerusi Lembaga Adat Istiadat Kebangsaan, Tuan Haji Mohd Anuar bin Haji Abdul Hamid telah menjelaskan bahawa kedua-dua sijil tersebut perlu dilihat sebagai sijil yang paling penting dari semua sijil yang dikeluarkan oleh Pertubuhan kerana ianya merupakan ‘surat beranak’ murid gayong baru tersebut ke dalam dunia Silat Seni Gayong sepertimana pentingnya surat beranak JPN yang mengesahkan kita sebagai rakyat yang dilahirkan dalam negara Malaysia. Memandangkan semua murid gayong akan melalui sekali sahaja majlis Perlimau Tapak & Seni seumur hidup mereka maka sijil ini adalah sangat relevan dan signifikan dari konteks sejarah hidup murid tersebut dalam Silat Seni Gayong di masa akan datang

             Walaubagaimanapun, beliau berkata bahawa perkara ini akan hanya dapat direalisasikan sekiranya mendapat kerjasama dari semua pihak terutamanya gurulatih yang inginkan bukti anak-anak murid mereka telah ‘dilahirkan’ke dunia Silat Seni Gayong oleh gurulatih berkenaan. Pengumunan ini telah dibuat oleh Tuan Haji Mohd Anuar semasa berada di Majlis Perwatikahan Wakil Perlimau Tapak & Seni pada 30 November 2014 di Kelab Darul Ehsan, Ampang.

 


PAPARKAN BERITA DAN AKTIVITI SETEMPAT ANDA DI LAMAN WEB RASMI WWW.GAYONG.COM.MY

Anda boleh menghantar berita aktiviti berserta gambar aktiviti anda ke email

pssgm@gayong.com.my.

 

Setiap artikel yang dihantar perlulah disertakan bersama:
Tajuk aktiviti
Penerangan aktiviti
Gambar aktiviti
Gelanggang/lokasi
Nama berserta No. Keahlian

 

Setiap artikel yang dihantar akan disaring oleh bahagian editor laman web

**Jom meriahkan Laman Web Rasmi kita**