Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Laman Web Rasmi, No. Pendaftaran: PPM-010-04-09042013

25 Nov 2018

       Pada mesyuarat Lembaga Waris Amanah Kali ke 4, 10 Nov. 2018, telah diingatkan kepada semua ahlinya supaya terus menjaga institusi yang berfungsi dan bertindak atas nama pewaris badan Dato’ Meor Abdul Rahman din Daeing Uda Md Hashim ini. Kuasa yang dibawa oleh setiap ahli adalah mewakili Allahyarham, dan tiada kuasa yang lebih tinggi dari itu dalam persilatan Silat Seni Gayong Malaysia.  Setiap ahli dilantik dan disandangkan oleh Allahyarham sendiri atau Wakil Mutlak, iaitu waris langsung dari keturunannya apabila ketiadaan Allahyarham kelak.

       Lembaga Waris Amanah adalah sebuah badan yang diwujudkan oleh Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman melalui surat yang bertarikh 8 Sept. 1989.  Surat itu menjelaskan bahawa Silat Seni Gayong Malaysia hendalah dipimpin dan ditentukan penerusannya oleh sebuah badan.  Badan ini diberi nama Lembaga Waris Amanah Silat Seni Gayong Malaysia.

       Ahli kepada badan ini pada peringkat pertamanya ialah seramai 3 (tiga) orang.  Dalam surat yang sama telah menyatakan bahawa apabila ketiga-tiga ahli ini tiada (meninggal dunia) maka hendaklah dinamakan seramai 7 (tujuh) orang dilantik untuk menganggotai badan tersebut.  Mereka yang dilantik hendaklah dalam kalangan yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang tinggi dalam bidang pelajaran dan adat istiadat Silat Seni Gayong Malaysia.

       Justeru ini bermakna setiap ahli dilarang untuk menganggotai mana-mana badan pengurusan yang menyebabkan perlu melaksanakan tanggung jawab atau kerja atas sebab arahan pemegang jawatan yang lebih tinggi dalam struktur badan berkaitan.  Ahli Lembaga Waris Amanah boleh menjadi penasihat (ex-officio) jika keadaan memerlukan atau apabila diminta.

       Bagi meningkat kewibawaan Lembaga Waris Amanah, maka ahli-ahli ini dikehendaki untuk terus menerus menjaga diri masing-masing dari terdedah melakukan perbuatan atau membuat kenyataan yang boleh menjejas kewibawaan diri dan badan yang dianggotai ini. Gurulatih dan badan pengurusan Silat Seni Gayong Malaysia dengan ini diminta supaya sama-sama mengambil maklum dasar yang dinyatakan dan mengambil langkah yang bersesuaian untuk menjaga martabat ahli Lembaga Waris Amanah dan badan Lembaga Waris Amanah itu sendiri.


PAPARKAN BERITA DAN AKTIVITI SETEMPAT ANDA DI LAMAN WEB RASMI WWW.GAYONG.COM.MY

Anda boleh menghantar berita aktiviti berserta gambar aktiviti anda ke email

pssgm@gayong.com.my.

 

Setiap artikel yang dihantar perlulah disertakan bersama:
Tajuk aktiviti
Penerangan aktiviti
Gambar aktiviti
Gelanggang/lokasi
Nama berserta No. Keahlian

 

Setiap artikel yang dihantar akan disaring oleh bahagian editor laman web

**Jom meriahkan Laman Web Rasmi kita**